Cemburu

/ Wednesday, June 22, 2011 /
DEFINISI cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya. Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. Mungkin ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya. Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’ seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain. Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’ amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan ‘mudah dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif. Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan cemburu itu berjaya dikawal. Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa sikap cemburunya itu kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah bertindak segera agar tidak merebak.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2010 Budak Belemoih™, All rights reserved
Design by DZignine. Powered by Blogger